Warkah En Pengerusi !
Assalammualaikum Warahmatullahiwabarakatuh kalian sidang pembaca! Apa khabar? Semoga sihat-sihat belaka lah hendaknya. Ahaaaaa.... Sebenarnya saya ini baru sahaja cuba menjinak-jinakkan diri dalam dunia blogger nie. Jadi sekiranya ada terkasar bahasa, tersilap taip. ataupun BAHASA TERLAMPAU BUKU, maafkanlah ana. Saya insan biasa. Punyai banyak kekurangan di mata dan diakui tiada sesempurna mana seperti Rasulullah S.A.W, nabi junjungan kita. Kawan-kawan sidang pembaca, anda buat apa yer cuti semester ini ? Bekerja 'part-time', jadi cikgu sementara, pelayan dekat KFC atau McD, 'babysitter' berjaya, ataupun tanam anggur di rumah masing-masing(menganggur sepenuh masa)? tidak kira lah apa jua sekalipun aktiviti yang kalian buat, saya doakan kalian semua supaya diberi kesejahteraan oleh Allah.
Sedar atau tidak, ketika saya leka menaip tulisan ini, tarikh hari bulan telah menjenguk ke 20 JUN 2012 bersamaan 30 Rejab 1433Hijriah. Ya Allah! Sungguh cepat masa berlalu. Pejam celik bangun subuh dan seterusnya, saya dan sahabat-sahabat Kolej Profesional MARA Indera Mahkota, Kuantan, sebenarnya telah menghabiskan genap sebulan bercuti semester. Dan Encik Pengerusi ada mendengar ura-ura yang keputusan peperiksaan FINAL juga akan dikeluarkan tidak lama lagi. Ya Allah sungguh laju dikau putarkan masa dunia ini. . . . ,
Di kesempatan yang ternyata sekejap ini, saya ingin mengajak rakan-rakan sidang pembaca, mari kita merenung sejenak akan diri kita yang serba lemah hina di sisi Tuhan yang Maha Berkuasa . . . Selama kita bercuti ini, apakah persiapan yang kita telah lakukan? Apakah amalan ibadat yang telah kita pertingkatkan ? Bagaimanakah kekuatan keyakinan diri kita yang telah kita sediakan? Kalau sebolehnya, berpuluh-puluh persoalan ke dalam diri kita ingin saya utarakan di sini sebagai suatu 'checklist' untuk kebaikan diri penulis dan juga sidang pembaca. Namun apakan daya, masa mencemburui . Insyaallah saya akan cuba mengintai masa, demi berkongsi ceritera, mengajak para remaja pembaca, mendekati Allah tuhan kita, dengan karya tulisan yang lebih bermakna, semoga apa sahaja yang disampaikan membawa secebis makna. Sehingga bertemu lagi, Assalammualaikum Warahmatullahiwabarakatuh.
Tuesday, 19 June 2012
Friday, 15 June 2012
PERSOALAN SEDEKAH AL-FATIHAH KEPADA SI MATI
Membaca Al-Fatihah kepada si mati adalah dengan tujuan menyedekahkanPAHALA bacaan tersebut. Kerana, dengan membaca Al-Quran telah dijanjikan balasan pahala.
عبد الله بن مسعود يقول : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم من قرأ حرفا من كتاب الله فله به حسنة والحسنة بعشر أمثالها لا أقول آلم حرف ولكن ألف حرف ولام حرف وميم حرف
Maksudnya : Berkata Abdullah bin Mas’ud : Bersabda Rasulullah SAW “ Barangsiapa membaca satu huruf daripada Kitab Allah (Al-Quran), maka baginya satu hasanah (kebaikan), dan setiap satu hasanah baginya 10 pahala. Aku tidak katakan آلم satu huruf, bahkan alif satu huruf, lam satu huruf dan mim satu huruf.
(Hadith Sunan Tirmizi (No.2910) dengan komentar “Hadith ini Hasan Sohih Ghorib”. Hadith yang sama maksud boleh didapati dalam kitab Musannaf Ibnu Abi Syaibah (No.29933), Sya’bu Al-Iman (No. 1983), Kanzu Al-‘Amal (No.2429), Sohih Targhib Wa Tarhib (No.1416), Riyad As-Solihin (No.999). Disepakati status hadith ini adalah sohih)
Persoalannya, benarkah kita dituntut, atau dianjurkan, atau digalakkan oleh Baginda Nabi SAW untuk sedekahkan bacaan Al-Fatihah kepada si mati? Inilah yang cuba penulis kupaskan dalam artikel ini. Diharapkan pembaca tekun membaca dan memahami perkara ini.
APA SEBENARNYA YANG DIANJURKAN?
Sebenarnya, Baginda Nabi SAW tidak pernah menganjurkan para sahabat yang hidup menyedekahkan Al-Fatihah kepada sahabat yang meninggal. Bahkan apa yang sebenarnya dianjurkan oleh baginda ialah MENDOAKAN si mati…
Perkara ini dapat dibuktikan dengan dalil berikut :
عن أم سلمة قالت : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم " إذا حضرتم الميت فقولوا خيرا فإن الملائكة يؤمنون على ما تقولون " فلما مات أبو سلمة قلت يارسول الله ما أقول ؟ قال " قولي اللهم اغفر له وأعقبنا عقبى صالحة " قالت فأعقبني الله تعالى به محمدا صلى الله عليه وسلم .
Maksudnya : Daripada Ummu Salamah katanya : Bersabda Rasulullah SAW “ Apabila kamu menziarahi mayat maka katakanlah yang baik-baik. Sesungguhnya para Malaikat percaya (mencatat) apa yang kamu katakan”. Maka ketikamana Abu Salamah meninggal dunia, aku (Ummu Salamah) bertanya wahai Rasulullah apa yang patut aku katakan? Jawab (baginda) “ Katakan :
اللهم اغفر له وأعقبنا عقبى صالحة
(Hadith Sohih Sunan Abi Daud (No.3115), Ibnu Majah (No.1447). Hadith ini juga dinukilkan oleh Ibnu Hibban dalam kitab sohihnya (No.3005), dengan komentarnya “Sanad Hadith ini sohih mengikut syarat Al-Bukhari dan Muslim”. Namun hadith ini tidak dimuatkan oleh kedua tokoh tersebut dalam kitab sohih mereka)
Inilah yang dianjurkan oleh Baginda dan diamalkan oleh para sahabat, yaitumendoakan si mati, bukannya menyedekahkan atau membacakan Al-Fatihah sepertimana yang kita amalkan hari ini.
Satu lagi bukti yang boleh penulis kemukakan di sini ialah dengan hadith yang sangat mahsyur dalam kalangan masyarakat kita hari ini :
عن أبي هريرة رضي الله عنه : أن النبي صلى الله عليه وسلم قال إذا مات الإنسان انقطع عمله إلا من ثلاث صدقة جارية وعلم ينتفع به وولد صالح يدعو له
Maksudnya : Daripada Abi Hurairah ra : Sesungguhnya Nabi SAW bersabda “Apabila mati seseorang insan, maka terputuslah segala amalanya melainkan tiga (amalan). Sedekah jariah (yang ditinggalkan), ilmu yang bermanfaat (yang diajarkan), dan anak yang soleh yang mendoakannya.
(Hadith Sunan Tirmizi (No. 1376) dengan komentarnya “Hadith ini Hasan Sohih”. Hadith yang sama juga boleh didapati dalam Sunan Nasa’i (No.3651). Hadith ini dinilai Sohih)
Jelasnya dalam hadith di atas, Nabi SAW menyebutkan anak yang soleh yang MENDOAKANNYA. Tetapi bukanlah anak soleh yang menyedekahkan bacaan Al-Quran. Mungkin ramai yang tahu hadith ini, tetapi tidak ramai yang memerhatikan maksud hadith ini.
Tidak ada satu keterangan pun bahawa Nabi SAW menyuruh menyedekahkan bacaan Al-Fatihah atau Al-Quran kepada si mati. Ini diperkuatkan lagi dengan anjuran Nabi SAW ketika melalui kubur :
عن سليمان بن بريدة عن أبيه قال : كان رسول الله صلى الله عليه وسلم يعلمهم إذا خرجوا إلى المقابر فكان قائلهم يقول ( في رواية أبي بكر ) السلام على أهل الديار ( وفي رواية زهير ) السلام عليكم أهل الديار من المؤمنين والمسلمين وإنا إن شاء الله للاحقون أسأل الله لنا ولكم العافية
Maksudnya : Daripada Sulaiman bin Buraidah, daripada ayahnya berkata : Adapun Rasulullah SAW mengajarkan mereka apabila kamu keluar ke perkuburan maka hendaklah seseorang dari mereka katakan : (dalam riwayat Abi Bakar) Sejahtera keatasmu ahli kubur, (dalam riwayat Zuhair) Assalamualaikum ahli kubur dari kalangan Mukminin dan Muslimin dan aku Insya-Allah akan menyusul. Aku pohon kepada Allah kebaikan ke atas kami (yang masih hidup) dan keatas kamu (yang telah mati).
(Hadith Sohih Muslim (No.104). Hadith yang sama maksud dalam Sunan Nasa’i (No.2040), Sunan Ibnu Majah (No.1547), Musnad Ahmad bin Hanbal (No.23035). Sepakat Hadith Ini Sohih)
PERSOALAN MEMBACA AL-FATIHAH ATAU AL-QURAN KEPADA SI MATI
Jika kita menyedekahkan Al-Fatihah kepada si mati, apakah yang kita sedekahkan? Tidak lain, pastilah PAHALA BACAAN AL-FATIHAH yang kita sedekahkan.
Sekiranya kita membaca Al-Fatihah, pasti kita mengharapkan balasan pahala daripada Allah SWT. Juga mengharapkan keredhaan Allah. Persoalan dapat atau tidak apa yang kita harapkan itu semuanya hak Allah, dan ia adalah perkara ghaib yang kita tidak dapat lihat diterima atau tidak.
Perlu jelas bahawa persoalan pahala ialah persoalan ghaib (perkara ghaib). Perlu difikirkan oleh kita, adakah pahala membaca Al-Fatihah atau mana-mana ayat Al-Quran ini boleh di sedekahkan? Apakah kedudukan pahala yang ghaib ini sama seperti wang ringgit yang zahir yang boleh dipindah-pindah miliknya atau disedekahkan?
Sekiranya seseorang mendakwa pahala membaca Al-Fatihah ini boleh disedekahkan, maka dia perlu membawa bukti dengan Nas Al-Quran atau Hadith, kerana perkara ghaib ini hanya boleh diketahui melalui dua sumber ini sahaja. Adapun melalui sangkaan atau ‘rasa-rasa sampai’ sahaja, maka tidak boleh diterima sama sekali.
Maksud membawa bukti di sini ialah membawakan mana-mana ayat Al-Quran atau Hadith Nabi SAW yang sohih yang menyatakan bahawa sampainya pahala sedekah membaca Al-Fatihah kepada si mati. Hadith Dhaif tidak boleh diterima. Hal ini kerana, Hadith mendoakan bertaraf sohih.Apabila bertembung hadith sohih dan dhaif, maka yang sohih perlu diutamakan.
Sangkaan atau ‘rasa-rasa sampai' tidak boleh diterima kerana, Allah dan Rasul-Nya tidak menyatakan demikian. Sedangkan Nabi SAW orang yang paling faham agama (kerana wahyu disampaikan melalui baginda) pun tidak menyatakan sampainya pahala sedekah, mana mungkin kita manusia biasa ini boleh pula menyatakan demikian.
Maksudnya : Daripada ‘Aisyah rah : Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda : Barangsiapa beramal dengan amalan yang bukan dari suruh kami, maka ianya tertolak.
(Hadith Sohih Muslim (No.1718). Hadith yang sama maksud dalam Sohih Al-Bukhari (No.2550), Sunan Abi Daud (No.4606), Sunan Ibnu Majah (No.14), Musnad Ahmad bin Hanbal (No.25511))
عائشة رضي الله عنه ها قالت : أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال ( من عمل عملا ليس عليه أمرنا فهو رد )
Maksudnya : Daripada ‘Aisyah rah : Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda : Barangsiapa beramal dengan amalan yang bukan dari suruh kami, maka ianya tertolak.
(Hadith Sohih Muslim (No.1718). Hadith yang sama maksud dalam Sohih Al-Bukhari (No.2550), Sunan Abi Daud (No.4606), Sunan Ibnu Majah (No.14), Musnad Ahmad bin Hanbal (No.25511))
BAGAIMANA DOA YANG DIANJURKAN
Doa yang disarankan ialah sepertimana yang dinyatakan dalam hadith Ummu Salamah di atas :
اللهم اغفر له وأعقبنا عقبى صالحة
Sebenarnya, tidak ada doa yang khusus kepada si mati, asalkan doa itu baik dan bertujuan memohon ampun bagi pihak si mati. Nabi SAW menyatakan dalam Hadith Ummu Salamah itu :
فقولوا خيرا
Maksudnya : …maka kamu katakanlah yang baik-baik…
Sabdaan Nabi SAW ini juga menunjukkan bahawa, apabila berlaku kematian, katakanlah yang baik-baik tentang si mati. Jangan sesekali mengumpat, atau mengatakan keburukan si mati. Sebaliknya, sebutkan hal-hal yang baik tentang si mati serta mendoakannya.
Doa yang biasa di baca oleh masyarakat kita dalam tahlil juga merupakan doa yang baik :
اللهم اغفرله وارحمه وعافه واعف عنه
Sebaik-baik doa adalah memohon keampunan bagi pihak si mati.
KESIMPULAN
Setelah penulis membawakan bukti-bukti berlandaskan Hadith-Hadith yang sohih, maka terpulanglah kepada para pembaca untuk menilainya. Penulis tidak menganggap bahawa menyedekahkan Al-Fatihah kepada si mati adalah sesat (bid’ah dholalah). Yang jelasnya, individu yang menganjurkan demikian berniat baik, iaitu ingin meringankan seksaan si mati di alam kubur. Tetapi,sebaik-baik amalan yang perlu kita amalkan dan berpegang dengannya adalah, amalan yang berdasarkan Nas yang sohih yang dianjurkan oleh Nabi dan diamalkan oleh para sahabat serta generasi selepasnya yang berpegang teguh dengan sunnah…
Penulis menyeru, sekiranya kita diminta menyampaikan khabar kematian seseorang, maka serulah orang ramai mendoakan si mati..(elakkan menyeru membacakan Al-Fatihah)..
Sekiranya ada orang menyeru membacakan Al-Fatihah kepada si mati, maka kita doakanlah sahaja.. Mengikut sunnah yang diajarkan Nabi SAW adalah lebih utama…
Wallahu A’lam..
Sumber: Shoutus Sunnah Enterprise
Jodoh tidak datang bergolek
“Itulah alasan lapuk yang aku sudah malas mahu mendengarnya. Kononnya semasa di kampus inilah kena bercinta sebab zaman kerja nanti, silap-silap melepas,” luah hati Zaharah sambil membetulkan tudungnya.
“Mereka sanggup melayan dosa bercouple begitu… mereka sudah lupakah janji Allah bahawa jodoh dan pertemuan sudah diatur-Nya? Mengapa mesti melayan dosa?” tambah Zeti untuk menyedapkan lagi perbualannya.
Setelah membaca dan menghadam Teori Evolusi Cinta yang saya nukilkan di saifulislam.com tentang keburukan hidup bergelumang cinta bertatah dosa, ramai yang berasa puas. Ada yang berpuas hati kerana bertambah yakin dengan pengorbanan diri menolak cinta atau memutuskan cinta yang pernah membelit jiwa. Ada juga yang berpuas hati kerana beroleh hujah-hujah mantap untuk membidas kawan-kawannya yang selama ini petah menangkis tazkirah.

SALAH FAHAM
“Kenapa mesti bercinta semasa belajar, bukankah jodoh dan pertemuan telah Allah tentukan!” kata seorang pemberi komen. Bukan komen di blog saya, tetapi di halaman lain yang memetik tulisan saya.
Sesungguhnya di sinilah tertonjolnya satu krisis baru.
Menolak cinta yang bergelumang dosa adalah sama sekali tidak bermaksud yang persoalan jodoh boleh dipisahkan dari usaha. Ia bertentangan dengan sunnatullah yang menuntut kita mengambil sebab musabab dalam kehidupan. Bagaimana kalau ayat tersebut digantikan dengan persoalan makan?
“Kenapa mesti mencuri untuk mencari rezeki, bukankah makan dan minum kita telah Allah tentukan?”, ayat ganti dalam skop yang sama.
Mampukah seorang manusia yang waras percaya bahawa perbuatan mencuri untuk mencari makan, adalah kesalahan yang mesti dihentikan dan gantiannya ialah menunggu sahaja beras ajaib menjadi nasi, ikan di laut berenang ke pinggan, dan tangan menyuap tanpa usaha!
Tentu sahaja tidak.
Sudah tentu perbuatan berdua-duaan tanpa ikatan perkahwinan, yang sudah menjadi kelaziman yang menggila di kalangan masyarakat kampus adalah perbuatan yang salah dan harus diperbetulkan. Namun menolak coupling tidak bermaksud yang seorang siswa dan siswi boleh duduk bertimpuh bertahajjud di atas sejadah merayu kepada Allah agar beroleh jodoh tanpa sebarang usaha ke arah mendapatkannya.
Usaha tetap usaha, dan zaman belajar tetap merupakan salah satu peringkat usia yang bagus untuk usaha ini dilaksanakan. Soal berkahwin semasa belajar ia subjek kepada diskusi khusus mengenainya. Namun mencari calon yang sesuai ketika di zaman pengajian, adalah langkah yang baik kerana kita duduk dalam lingkungan yang lebih banyak potensi kafa’ah dan sekufu dalam pencarian itu.
Akan tetapi jika berdua-duaan menggendong pasangan ke hulu hilir dianggap salah, apa lagi ikhtiar yang ada untuk mencari teman berkongsi nyawa?
SUATU KETIKA DAHULU
“Has, umur kita dah mencecah hampir suku abad. Anta tak ada perancangan untuk berkahwin?” tanya Ziad, sepupu saya ketika kami menjamah makan malam.
“Hmm… terfikir juga. Cuma tidak seserius mana. Anta rasa macam mana?” saya menyoalnya kembali.
“Kalau anta berhajat, jomlah kita berjumpa dengan Ustaz Wan,” cadang Ziad.
Ustaz Wan adalah seorang pelajar PhD di UK. Beliau merupakah seorang tokoh masyarakat yang dekat di hati kami kerana sikapnya yang prihatin terhadap kebajikan pelajar yang mengenalinya. Dalam kesibukan beliau mengendalikan pengajiannya di peringkat PhD, beliau tidak lokek meminjamkan masa dari semasa ke semasa untuk berceramah, berseminar dan membuka kelas-kelas pengajian yang amat berharga, terutamanya buat anak perantau yang dahagakan petunjuk agama di bumi UK.
Kami sering merujuk kepada Ustaz Wan.
Bukan hanya dalam soal ilmu dan hukum hakam, tetapi membabitkan soal kehidupan. Beliau adalah tempat rujuk yang paling tepat untuk pelajar bertemu dan meminta nasihat serta pertolongan tentang cinta, jodoh dan perkahwinan.
“Anta tak ada calonkah daripada kalangan ustazah-ustazah Jordan sana?” soal Ustaz Wan petang itu.
“Err… ustazah-ustazah Jordan garang, ustaz. Nanti ana tak dibenarkan makan pizza. Hanya khubuz arabi sahaja!” saya menjawab dengan nada gurauan. Ustaz Wan dan Ziad ketawa.
“Anta ada kriteria tertentu?” tanya Ustaz Wan kepada saya.
“Tak ada ustaz. Asalkan elok di mata ustaz, eloklah di mata ana. Cuma jika ada ruang, ana lebih cenderung untuk mencari calon yang kampungnya dekat-dekat. Tidak perlu bermusafir jauh untuk pulang ke kampung nanti,” saya menjawab.
“Oh, kalau ada calon dari kampung ana, anta tak setujulah ya?” gurau Ustaz Wan sambil mengisyaratkan jarinya kepada Zack yang ketawa di sisi.
“Wait and see laa ustaz!” kami ketawa.
Kami tahu, isteri Ustaz Wan juga banyak berbual dengan kelompok siswi. Mereka juga merujuk kepada isteri Ustaz Wan dalam hal-hal seperti ini dan sebahagiannya meminta bantuan beliau untuk mencarikan jodoh yang sesuai.
Ustaz Wan mencadangkan agar saya mencari jodoh dari kalangan pelajar perubatan di Ireland. Kombinasi Ustaz dan doktor bagus untuk khidmat masyarakat katanya. Cuma ustaz yang berkahwin dengan doktor kenalah bekerja keras untuk menyesuaikan kerjaya dan expectation masing-masing memandangkan kepada nature kerja kedua-dua profesyen itu.
Saya bersetuju.
Ustaz Wan dan isteri memanjangkan hajat saya kepada seorang senior yang berada di Dublin, Dr. Faiz.
Beliau dan isterinya merupakan doktor yang dihormati di kalangan pelajar. Biar pun beliau bukan seorang ustaz, namun perwatakannya yang prihatin kepada kebajikan pelajar serta keperibadiannya yang baik, menjadikan beliau sebagai tempat siswa dan siswi mengadu hal dan meminta nasihat.
Selain nasihat berkaitan akademik, beliau juga banyak berkongsi peringatan tentang hal-hal yang bersangkutan dengan cinta, jodoh dan perkahwinan.

Menaiki Seacat menyeberangi Laut Irish dalam ikhtiar berkaitan jodoh – Disember 1998
“Ahlan wa sahlan ke Dublin, ustaz,” kata Dr. Faiz semasa menyambut saya yang baru tiba dengan keretapi dari Belfast.
“Terima kasih doktor,” saya berpelukan dengannya.
Biar pun kami hanya sesekali bertemu di dalam program, namun keserasian pemikiran dan sifat saling hormat menghormati memberikan keselesaan serta merta kepada kami berdua untuk berbual mesra. Pertemuan pada malam Ramadhan yang penuh keberkatan itu menjadi sesi bertukar-tukar pandangan di antara saya dengan beliau. Setelah dimaklumkan oleh Ustaz Wan lebih sebulan yang lalu, Dr. Faiz dan isteri mencadangkan kepada saya beberapa orang siswi yang mempunyai hasrat yang sama, sebagai calon isteri.
CALON CADANGAN
“Ana ada dua orang calon yang dirasakan sesuai dengan ustaz. Tetapi terpulang kepada ustaz untuk mempertimbangkannya,” ujar Dr. Faiz malam itu.
“Hmm, kalau mengikut catatan doktor, calon yang pertama ini amat banyak persamaan dengan ana. Hingga poskod beliau pun sama. Doktor rasa kenapa agaknya?” saya tersenyum semasa membaca catatan Dr. Faiz tentang ‘calon pertama’ yang dikemukakannya.
“Kenapa ya? Ana tak perasan pula!” kata beliau. Sedikit terkejut.
“Ini sepupu ana, doktor. Haha!” saya ketawa.
“Ohh ye ke? Tak tahu pula ustaz ada sepupu di sini. Patutlah poskod pun sama. Rumah dekat-dekat barangkali,” Dr. Faiz ketawa sambil menepuk dahi.
Saya membelek maklumat tentang calon kedua yang dikemukakan oleh Dr. Faiz.
Namanya Nazhatul Muna.
Hmm… sedap nama itu. Seperti Arab. Tanda ibu bapanya orang beragama barangkali. Alamatnya di Ipoh. Orang dekat juga nampaknya. Adik beradiknya 10 orang. Besar keluarga ini. Mungkin juga bonus, petanda baik kesediaan berkaitan cahaya mata nanti. Serba serbi, maklumat ringkas yang ada cukup berpada.
Saya tidaklah cerewet dalam mencari. Risaunya lebih kepada menjadi. Kalau mahu mencari yang baik, banyakkan usaha menjadi yang baik. Berkahwin untuk memberi… expectation kita adalah soal peranan dan tanggungjawab. Manakala kelebihan dan kebaikan isteri, itu bonus. Sebab itulah mungkin saya tidak mengalami banyak kesusahan untuk membuat keputusan.
“Insya Allah selepas Tarawih nanti ana beri keputusan. Cuma kalau ada gambar orangnya, izinkan ana menengoknya untuk melengkapkan syarat Sunnah,” saya memberitahu. Kebetulannya jam sudah hampir 7:30 malam. Solat Isyak dan Tarawih bakal bermula.

Di masjid ini saya memohon restu dari Allah sebelum keputusan besar dibuat
Selesai solat, saya mengambil masa seketika menunaikan solat Hajat. Memohon kekuatan daripada Allah untuk ‘menyokong keputusan besar’ malam itu. Keputusan yang banyak berpandukan fatwa hati, bahawa ia tenang dengan kebaikan dan resah dengan perkara yang berlawanan. Hati saya tenang sepenuhnya… dalam munajat kepada Allah.
“Ya Allah, pada malam yang penuh keberkatan dan kemuliaan ini, aku ingin membuat keputusan yang besar tentang wanita yang bakal kupilih menemani kehidupan dan perjuangan ini, sepanjang hayatku. Atas ikhtiarku sebagai hamba-Mu yang tidak mampu melihat apa yang Engkau sembunyikan, aku menilai zahirnya, Kau uruskanlah ghaib dan batinnya. Berkatilah pilihanku ini dan kuatkan azam serta tawakkalku kepada-Mu. Aku hamba-Mu, dia hamba-Mu, Engkau Tuhan kami. Jadikanlah segalanya dalam suluhan hidayah dan inayah-Mu, ameen ya Rabb al-’Aalameen”
Kami bertemu semula selepas moreh.
“Kebetulan zaujah ana ada gambar ukhti tersebut. Ini dia,” Dr. Faiz menghulurkan sekeping gambar.
Saya terkasima di antara rasa teruja dan lucu memikirkannya. Sekeping gambar yang memaparkan hampir 30 orang mahasiswi di hadapan bangunan universiti, wajah calon isteri saya hanyalah sebesar kepala mancis. Apa yang pasti, calon itu cukup matanya, lubang hidungnya, mulut dan dua tangan di kiri dan kanan badan. Alhamdulillaaah!!!
“Insya Allah doktor. Hati ana berada dalam keadaan yang tenang. Dialah calon pilihan ana. Andaikata beliau bersetuju. Jika beliau tidak bersetuju, ana berlapang dada,” saya memberitahu.
Malam itu juga, Kak Ila isteri Dr. Faiz menelefon muslimah bernama Nazhatul Muna itu di bandar Galway, beberapa ratus kilometer ke Barat Dublin. Hampir 15 minit mereka berbual.
“Hah, apa cerita?” Dr. Faiz bertanya kepada Kak Ila yang tersenyum simpul datang ke ruang tamu.
“Alhamdulillah, nampaknya orang sebelah sana pun tidak susah membuat keputusan. Dia belum mempunyai apa-apa komitmen walaupun ada meminta bantuan sepupunya yang belajar di Mesir. Beliau bersetuju, ustaz!” kata Kak Ila kepada saya. Beliau juga girang sekali dengan hasil malam itu.
Sebak dada saya. Antara syukur dan terharu. Debar di dada makin terasa. Malam ini adalah permulaan yang baru dalam hidupku.
Subhanallah. Saya akui saya tidak susah untuk membuat keputusan. Tetapi saya tidak menjangkakan yang calon di sebelah sana juga begitu. Malam itu kami mencapai beberapa keputusan. Dr. Faiz mencadangkan agar semasa Hariraya Aidiladha nanti, saya datang sekali lagi ke Dublin untuk diperkenalkan dengan calon tunang dan isteri saya di rumah mereka. Dr. Faiz dan isteri mahu mengatur sesi Taaruf. Sementara itu, beliau tidaklah mengenakan apa-apa syarat kerana kami masing-masing faham akan batasan agama yang dipersetujui bersama.
Rancangan untuk bertaaruf itu tidak berhasil.
Saya tidak sempat untuk datang semula ke Dublin kerana pulang ke Malaysia. Kebetulannya emak juga sudah maklum akan hasrat saya untuk menamatkan zaman bujang. Tidaklah terus berkahwin, tetapi menunggu sehingga calon saya menamatkan pengajiannya di bidang perubatan. Masih ada dua tahun berbaki. Tempoh yang penting untuk saya membuat persiapan diri.
Setelah ada persetujuan di kedua-dua belah pihak, Dr. Faiz mencadangkan agar saya tidak lagi menggunakan khidmat beliau sebagai orang tengah. Di peringkat ini, sudah wajar untuk kami berhubung terus bagi mengatur diskusi tentang plan yang selanjutnya.
Pada bulan Mei 1999 buat pertama kalinya saya berutus email dengan calon yang belum pernah dilihat wajahnya, belum pernah didengar suaranya, jauh sekali keluar bersama. Gugup sekali. Hingga mahu dibahasakan saudari atau ukhti atau awak atau kamu, saya menulis dan memadam berjam-jam lamanya.
Setelah saling bertukar beberapa email, kami mencapai kata sepakat untuk bertunang. Saya dari kota London dan beliau dari Galway, kami sama-sama pulang ke Malaysia.
Saya telah datang ke rumah beliau bersama abang dan bapa saudara kami untuk menetapkan tarikh majlis bertunang dan hal-hal lain yang berkaitan. Di hari itulah, buat pertama kalinya, saya dipertemukan dengan seorang wanita bernama Nazhatul Muna, di hadapan ayah dan bondanya dengan penuh restu, adab dan aturan agama. Ia sebuah pertemuan yang amat bermakna dan saya memuji Allah atas nikmat ini, nikmat melihat bakal teman sepanjang hayat di dalam majlis yang paling baik, iaitu di bawah bumbung rumahnya, di depan mata ayah dan ibu yang melahir dan membesarkannya.
Tiada yang lebih baik dari itu.

Tiada dalam gambar. Sedang ‘bersembunyi’ di dalam kereta
Bertunanglah (Mengikat Pertunangan Dalam Kesederhanaan – petikan Aku Terima Nikahnya) kami selama dua tahun dan seperti yang dipersetujui bersama, ikatan perkahwinan dilangsungkan pada September 2001 (Erti Sebuah Perkahwinan – petikan Aku Terima Nikahnya). Ziad yang juga sudah berumahtangga dan sedang menunggu kelahiran cahaya mata pertamanya, menumpang gembira hadir sama mengiringi majlis perkahwinan kami.
KHIDMAT ORANG TENGAH
Itulah secebis kenangan, kisah bagaimana saya bertemu jodoh dengan Ummu Saif.
Peranan Ustaz Wan dan Dr. Faiz serta isteri masing-masing, sinonim dengan fungsi Nafisah binti Umayyah, yang menjadi orang tengah di antara Khadijah bint Khuwailid dan Muhammad bin Abdillah sallallaahu ‘alayhi wa sallam ketika Khadijah melamar baginda.
Tindakan Khadijah mewakilkan Nafisah untuk merisik dan seterusnya menyatakan hasratnya mengambil Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam sebagai suami, adalah suatu aturan prosedur mencari jodoh yang terkandung di dalamnya hikmah yang besar.

Peranan orang tengah inilah yang harus diberikan perhatian oleh para muslimin dan muslimat hari ini dalam ikhtiar mereka mencari jodoh. Sama ada orang tengah itu merupakan ibu bapa mereka sendiri, atau pun individu-induvidu yang diyakini sifat amanah dan kewibawaannya, mereka bisa mengusahakan urusan mencari jodoh ini.
Malah jika peranan orang tengah ini diinstitusikan di bawah unit-unit secara sistematik, ia adalah lebih baik dan bermanfaat. Bagi gerakan-gerakan Islam dan kumpulan dakwah yang menghimpunkan sekelompok besar ahli yang sepemikiran dan memegang nilai serta pandangan hidup yang sama, proses untuk mencari jodoh yang diinstitusikan di bawah Unit Bait Muslim, adalah suatu tradisi zaman berzaman yang amat berguna.
Peranan Unit Bait Muslim ini bukanlah untuk memaksakan jodoh sesama pengikut! Malah jika ada pemaksaan berlaku di mana-mana ia adalah kepincangan mereka sendiri, biar atas nama apa sekali pun ia. Unit Bait Muslim ini amat tipis perbezaan di antara buruk dan baiknya. Ia amat bergantung kepada persepsi atau cara memandang seseorang. Apabila fungsi Unit Bait Muslim disanggah dengan perkataan sedemikian rupa, maka jadilah ia sebagai sesuatu yang dipandang serong dan negatif oleh golongan yang mendengar di atas angin.
Akan tetapi peranan Unit Bait Muslim ini adalah sebagai ikhtiar yang syar’ie untuk golongan yang tidak berdating ini bertemu jodoh. Konotasinya adalah USAHA dan PERANAN ORANG TENGAH.
Khidmat orang tengah dapat mencegah keaiban daripada berlaku. Ia juga boleh menjaga maruah kesemua pihak yang terbabit. Sama ada pihak tengah ini berkhidmat secara individu, atau secara berorganisasi, ia adalah wasilah mengusahakan jodoh dan perkahwinan yang amat penting untuk difahami dan dimanfaatkan.
Mungkin dalam situasi seperti ini, agensi mencari jodoh Muslim, menjadi salah satu alternatif yang boleh dipertimbangkan. Syarikat atau pertubuhan seperti MUSLIM MARRIAGE AGENCY setakat ini berperanan secara efektif, terhormat dan berkesan dalam mengatur proses mencari pasangan hidup di kalangan Muslim.
Apa yang penting adalah USAHA dalam lingkungan BATASAN AGAMA.
Kesimpulan daripada keseluruhan perkongsian ini, lawan merompak bukanlah menganggur. Lawan pergaulan bebas bukanlah duduk semata menanti jodoh datang menjelma.
Jodoh tidak datang bergolek
Sumber:http://saifulislam.com
Subscribe to:
Posts (Atom)