Friday, 26 October 2012

Selamat Hari Raya aidiladha...

Assalamualaikum .

kehidupan adalah sebuah perjalananan . insan yang cemerlang meletakkan dunia di sisi . dan akhirat di hadapan . kejayaan semanis madu memerlukan pergorbanan sepahit hempedu .

Saya dan Ahli-ahli  MASSA ingin mengucapkan .

."selamat hari raya aidil adha kepada seluruh umat islam" .




“Tidak ada suatu amal anak Adam pada hari raya Qurban yang lebih dicintai Allah selain menyembelih qurban.” (HR. At Tirmidzi)

sekian . 

Thursday, 25 October 2012

Kaedah Sembelihan Menurut Islam


بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَـنِ الرَّحِيمِ
Konsep sembelihan dalam Islam atau Zabiha telah meletakkan garis panduan dalam penyembelihan haiwan dengan baik dan teliti. Pengetahuan mendalam mengenai kaedah penyembelihan yang mengikut syariat amat penting kerana ia berkait rapat dengan faktor kerohanian dan kesihatan.
Islam adalah agama ‘Rahmat – Kasih Sayang’ untuk seluruh manusia bahkan kepada haiwan. Islam sangat berhemah dalam penyembelihan binatang ternakan.
.
Sembelihan ialah mematikan binatang dan menghalalkan dagingnya. Sembelihan menurut bahasa ialah ‘Thayyib‘ iaitu mengelokkan. Pengertian kedua adalah ‘Tatmim’ membawa maksud menyempurnaan iaitu menyempurnakan apa yang diharuskan dengan cara sembelihan.
.
Sembelihan adalah salah satu cara untuk mematikan atau menghilangkan nyawa binatang yang halal dimakan dengan memutuskan urat halkum dan urat marih dengan menggunakan alat yang tajam dengan niat kerana Allah.
Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala: Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya), dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain dari Allah, dan yang mati tercekik, dan yang mati dipukul, dan yang mati jatuh dari tempat yang tinggi, dan yang mati ditanduk, dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih (sebelum habis nyawanya), dan yang disembelih atas berhala.”   (Surah Al-Maidah: 3)
.
Hukum sembelihan adalah wajib dan binatang yang mati tanpa disembelih adalah dianggap bangkai, najis dan haram dimakan. Allah SWT berfirman“Dihalalkan bagi kamu segala yang baik-baik”.   (Surah Al-Maidah: 4)
.
.
A.    Rukun Sembelihan
Ijma’ para fuqaha mengatakan rukun sembelihat terhadap binatang terbahagi kepada 4:
1. Penyembelih
2. Binatang sembelihan
3. Alat untuk menyembelih
4. Keadaan (tempat / perbuatan) sembelihan.
.
.
B.    Syarat-Syarat Sembelihan
.
1) Orang yang menyembelih
a) Hendaklah beragama Islam atau Ahli Kitab (Kitabiyah).
b) Baligh; tidak sah jika kanak-kanak.
c) berakal; tidak sah jika orang gila
d) Tidak dalam ihram haji atau umrah
e) Dengan sengaja membaca Basmalah.
.
Firman Allah SWT: “Maka makanlah haiwan (yang halal) yang disebut nama Allah ketika menyembelihnya, jika kamu beriman kepada ayat-ayatnya”  (Surah al-An’aam, ayat 118).
.
.
2) Binatang Yang Disembelih
a) Binatang yang halal dimakan
b) binatang itu masih hidup
c) Mati dengan sekali sembelihan
d) wajib putus urat pernafasan (urat merih) dan urat tempat lalu makanan (halkum).
.
.
3) Alat Sembelihan
a) Mestilah alat yang tajam seperti pisau
b) Dibolehkan dari besi (logam), kayu, buluh, kaca, batu atau alat-alat lain yang ditajamkan.
c) Tidak termasuk gigi, tulang dan kuku.
.
Sabda Rasulullah Shallallahu alaihi Wasallam dari Rafi’ ibnu khadij Radhiallahu ‘anhu:“Apa-apa yang dapat mengalirkan darah serta disebut nama Allah padanya (waktu menyembelih), maka boleh kamu makan, kecuali gigi dan kuku, dan aku akan khabarkan kepada kamu sedemikian itu, (kerana) gigi adalah tulang dan kuku adalah pisau orang Habsyah.”  (Hadits riwayat Bukhari dan Muslim)
.
Sabda Nabi Shallallahu alaihi Wasallam: “Sesungguhnya Allah mewajibkan untuk berbuat baik kepada sesuatu. Oleh itu jika kamu membunuh, maka perbaikilah cara membunuhnya, dan apabila kamu menyembelih maka perbaikilah cara menyembelihnya dan tajamkanlah pisaunya serta selesakanlah haiwan sembelihannya itu” (Hadis riwayat Muslim).
.
.
4) Tempat Sembelihan
Terdapat 2 keadaan penyembelihan iaitu penyembelihan ke atas binatang yang berkuasa keatasnya dan penyembelihan ke atas binatang yang tidak berkuasa ke atasnya.
.
a)  Penyembelihan ke atas binatang yang berkuasa (menangkap & menyembelih) ke atasnya.
Wajib memutuskan dengan sempurna urat HALKUM dan urat MARIH. (Halkum ialah tempat salur nafas pernafasan dan marih pula tempat salur makan dan minum.)
.
b)  Penyembelihan ke atas binatang yang tidak berkuasa ke atasnya.
Binatang yang sukar ditangkap (buruan) atau binatang yang tidak dapat disembelih pada lehernya seperti sembelihan biasa seperti binatang yang terjatuh ke dalam perigi dan sukar dikeluarkan. Memadai dengan melukakan mana-mana bahagian pada tubuhnya hingga mampu menyebabkan mati.
.
Mazhab Syafi’e berpendapat hanya diwajibkan untuk memutuskan dua jenis uratiaitu urat halkum dan urat marih sahaja. Namun sunat hukumnya memutuskan 2 urat (salur) darah yang berada di kanan dan kiri leher binatang yang disembelih bagi mempercepatkan kematian.
.
.

GAMBARAJAH LEHER HAIWAN

Gambarajah kedudukan URAT HALKUM (salur makan) dan URAT MARIH (salur nafas) bagi haiwan sembelihan.
.
Keratan rentas leher binatang sembelihan.
Jelas kelihatan 2 salur makan dan salur pernafasan di tengah-tengah leher. Kawasan yang berwarna merah pula adalah salur yang membawa darah dari jantung ke otak.
.
.
Gambarajah dalaman leher seekor ayam.
.
.
Keadaan ketika sembelihan dijalankan
.
.

Gambarajah dalaman leher seekor lembu
.
.
Keadaan ketika sembelihan dijalankan
.
.
C.  Syarat Sah Sembelihan
1. Sembelihan dilakukan dengan niat menyembelih
2. Sembelihan dilakukan kerana Allah bukan kerana sesuatu yang lain seperti untuk disembah kepada jembalang dan sebagainya.
3. Putus urat halkum (saluran penafasan) dan urat marih (saluran marih)
4. Binatang tersebut halal dimakan dan masih hidup
5. Binatang tersebut mati dengan sekali sembelihan
6. Disembelih oleh orang Islam
7. Menggunakan alat yang tajam selain daripada kuku, gigi dan tulang
8. Binatang itu mati disembelih bukan kerana yang lain seperti mati terjut atau terjatuh dalam perigi ketika disembelih. 
.
.
D.  Sunat Sembelihan
1. Membaca Bismillah
2. Berselawat ke atas nabi
3. Mengadap kiblat
4. Membaringkan binatang di rusuk kiri semasa menyembelih
5. Menyembelih di pangkal leher binatang
6. Memutuskan kedua-dua urat yang terletak di kiri dan kanan leher supaya binatang cepat mati.
7. Melakukan sembelihan pada waktu siang.
8. Menggunakan alat sembelihan yang paling tajam.
 .
.
E.  Makruh Sembelihan
  1. Menggunakan alat yang tumpul
  2. Menampakkan alat sembelihan kepada binatang
  3. Mematahkan leher binatang sebelum nyawanya hilang
  4. Tidak menyebut nama Allah
  5. Tidak menghalakan binatang ke arah kiblat
  6. Melakukan sembelihan di hadapan binatang lain yang akan disembelih.
Jika putus tengkok atau leher ayam, tidak membatalkan syarat atau rukun sembelihan. Walaubagaimanapun perlu dilihat pula dari segi lain iaitu penyembelih itu berdosa jika dia sengaja memutuskan leher ayam tersebut yang boleh dikira melakukan satu kezaliman kepada ayam tersebut.
.
.
F.  Cara Penyembelihan.
Disyaratkan penyembelihan itu:
1.  Memotong seluruh halqum (saluran nafas) dan seluruh marih (saluran makanan dan minuman).
2.  Niat untuk menyembelih ketika melakukan penyembelihan.
3.  Jika seseorang memegang pisau di tangannya dan terlepas pisau itu daripada tangannya, lalu terkena leher binatang dan terputus seluruh halqum dan marihnya, tidaklah dikira sebagai penyembelihan, kerana tidak ada niat untuk melakukan penyembelihan, maka tidak halal memakan daging binatang tersebut.
4.  Hendaklah binatang itu mati semata-mata disebabkan oleh penyembelihan (tidak dilakukan satu perbuatan lain yang boleh membawa maut kepada binatang itu ketika disembelih).
.
Apabila telah cukup segala rukun-rukun dan syarat-syarat penyembelihan yang tersebut, maka halal binatang itu, kecuali sembelihan yang dimaksudkan kepada selain Allah atau disebutkan sewaktu menyembelihnya selain nama Allah, walaupun sembelihan itu mencukupi segala rukun-rukun dan syarat-syarat yang telah disebutkan.
Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala: “Sesungguhnya Allah mengharamkan ke atas kamu (memakan) bangkai, darah, daging babi, dan apa yang disembelih dengan menyebut selain nama Allah.”  (Surah Al-Nahl: 115)
.
.
G. Hikmah Sembelihan
1.  Boleh mematikan binatang dengan cara yang cepat dan selamat.
2.  Dapat mengeluarkan darah dan membersihkan daging darinya bagi menghindarkan penyakit.
3.  Memastikan daging bersih dan bermutu.
4.  Sebagai tanda penghormatan kepada makhluk-makhluk lain ciptaan Allah.
5.  Membezakan antara daging halal dan haram.
6.  Binatang yang disembelih tidak terseksa berbanding dengan cara lain.
.
Wallahua’lam bish showab
.

والسلام علبكم و رحمة الله و بركاته

HARI RAYA AIDILADHA



Asal-Usul Aidiladha
Pada suatu hari Nabi Ibrahim bermimpi, dalam mimpinya itu Allah menyuruh Nabi Ibrahim menyembelih anaknya yang bernama Ismail. Selepas dari mendapat mimpi itu, Nabi Ibrahim pun memberitahu isterinya yang bernama Siti Hajar.
Maka berbincanglah Nabi Ibrahim, Siti Hajar dan Ismail. Siti Hajar berkata, “Mungkin mimpimu itu hanya mainan tidur saja tetapi kalau mimpi itu merupakan wahyu, wajiblah dituruti.” Apabila mendengar kata-kata ibunya, Ismail berkata kepada bapanya, “Ayahku, sekiranya ini merupakan wahyu dari Allah S.W.T., aku sedia merelakan diriku untuk disembelih.”
Setelah persetujuan dicapai, keesokan harinya Nabi Ibrahim pun membawa puteranya Ismail untuk disembelih. Perkara Nabi Ibrahim hendak menyembelih anaknya telah sampai kepada pengetahuan orang ramai. Hal ini membuat orang ramai takut sehingga ada yang mengatakan, “Nampaknya Nabi Ibrahim mungkin sudah gila hinggakan mahu menyembelih anaknya sendiri. Kalau kita biarkan perkara ini, nanti kitapun akan dibunuhnya.”
Walau apapun tuduhan orang terhadapnya, namun Nabi Ibrahim tetap menjalankan tugas yang diperintahkan oleh Allah S.W.T terhadapnya. Setelah Nabi Ibrahim dan anaknya Ismail sampai pada tempat yang dituju, berkatalah anaknya, “Wahai ayahku, aku fikir cara yang baik untuk menyembelih adalah dengan cara aku disembelih dalam keadaan menelungkup tapi mata ayah hendaklah ditutup. Kemudian ayah hendaklah tahu arah pedang yang tajam dan ayah kenakan tepat kepada leherku.”
Kemudian Nabi Ibrahim pun melaksanakan perintah yang Allah S.W.T perintahkan dalam mimpinya. Baginda pun mengucapkan kalimah atas nama Allah lalu memancungkan pedangnya pada leher anaknya itu. Maka terperciklah darah mengenai badan Nabi Ibrahim. Sebagai seorang manusia biasa, Nabi Ibrahim pun menggeletar dan membuka penutup matanya.
Tetapi alangkah terperanjatlah apabila melihat yang disembelihnya itu bukanlah anaknya melainkan seekor kibas. Dengan memuji kebesaran Allah S.W.T, kedua-duanya pun berpeluk-peluk sambil bersyukur kepada Tuhan kerana memberi kekuatan sehingga dapat melaksanakan amanat dari Allah S.W.T.
Peristiwa ini ada diterangkan dalan surah Ash-Shaffat ayat 101 hingga ayat 111
Pengenalan

Hari Raya Aidiladha (bahasa Arab: ??? ?????? 'Eid Ul-Adha) atau Hari Raya Haji merupakan perayaan yang dirayakan di seluruh dunia. Ia adalah perayaan terbesar di dalam Islam selain Aidilfitri yang disambut pada setiap 1 Syawal. Aidiladha disambut pada hari ke sepuluh, sebelas, dua belas dan tiga belas bulan Zulhijjah setiap tahun. Bermula dengan Takbir Aidiladha pada malam 10 Zulhijjah, diikuti dengan solat sunat Aidiladha serta khutbah Aidiladha di pagi 10 Zulhijjah, sambutan diikuti dengan ibadah korban yang boleh dilakukan samada pada 10 atau 11 atau 12 atau siang 13 Zulhijjah.
Aidiladha adalah perayaan yang istimewa kerana ia merupakan hari untuk umat Islam memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dalam menunaikan perintah Allah dan ke-sabaran anaknya Nabi Ismail dalam memenuhi perintah Allah s.w.t.
Selain itu, salah satu keistimewaan Aidiladha dan Hari Tasyrik ialah ibadat korban. Ibadat korban ini hanya boleh dilakukan dalam empat hari iaitu bermula waktu selepas khatib menyampaikan khutbah Aidiladha sehingga sebelum tenggelam matahari pada hari ke-13 Zulhijah.
Dari segi bahasa, korban bermaksud dekat, manakala dari segi istilah ia bermaksud menjalankan perintah agama atau taat kepada perintah Allah kerana ingin mendekatkan diri kepada-Nya.
Hari Raya Korban jatuh pada hari kesepuluh pada bulan Zulhijjah, bulan terakhir pada kalender Hijrah Islam. 10 Zulhijjah merupakan tarikh penting dalam sejarah Islam di mana Nabi Adam dan isterinya Hawa dikeluarkan dari syurga dan diturunkan ke bumi sebelum berjumpa di padang Arafah, di luar bandar Mekah.
Pada hari raya, orang Islam disunatkan mengenakan pakaian yang paling cantik, paling bersih, dan juga mengenakan wangi-wangian. Pada pagi hari raya korban, umat Islam akan mengerjakan sembahyang sunat Hari Raya sebanyak 2 rakaat akan diadakan pada sebelah pagi, biasanya agak awal sedikit Hari Raya Aidil Fitri.
Selain itu, salah satu keistimewaan Aidiladha dan Hari Tasyrik ialah ibadat korban. Ibadat korban ini hanya boleh dilakukan dalam empat hari iaitu bermula waktu selepas khatib menyampaikan khutbah Aidiladha sehingga sebelum tenggelam matahari pada hari ke-13 Zulhijah.
Selepas bersembahyang, upacara korban akan dimulakan. Lembu, kambing, dan biri-biri yang dikorbankan akan disembelih secara beramai-ramai di kawasan masjid sebelum dibahagi-bahagikan kepada orang ramai terutamanya kepada golongan fakir miskin.
Hari Raya Aidiladha disambut ketika umat Islam membuat penziarahan ke Mekah, mengunjung Kaabah dan melakukan korban sembelihan. Al-Quran tidak menyatakan, tetapi umat Islam memegang bahawa perayaan korban ini memperingati kesanggupan Nabi Ibrahim untuk menyerahkan anaknya sebagai korban kepada Tuhan.
Selepas sembahyang, sekali lagi umat Islam akan berbondong-bondong melawati perkuburan orang yang disayangi. Semua orang akan memakai pakaian baru dan selepas itu yang muda akan memohon kemaafan daripada yang tua. Selepas itu semua orang akan menjamah pelbagai juadah yang disediakan sebelum ziarah dan menziarahi sesama mereka.
Hari Raya Aidiladha Dalam Hadis

Berdasarkan kepada hadis (terjemahan) yang diriwayatkan oleh Abu Daud daripada Anas r.a, yang bermaksud: "Rasulullah SAW datang ke Madinah, sedangkan mereka sedang sibuk bergembira selama dua hari. Maka Rasulullah SAW bertanya: Hari apakah yang dua hari ini? Mereka menjawab: Kami biasa bergembira selama dua hari pada zaman Jahiliah: Kemudian Rasulullah bersabda: "Sesungguhnya Allah SWT telah menggantikannya dengan hari yang lebih baik daripada dua hari itu bagi kamu iaitu Aidilfitri dan Aidiladha." (Diriwayatkan Imam Abu Daud dan an-Nasai daripada Anas)

Berdasarkan kepada hadis (terjemahan) “Tiada amal anak Adam yang lebih disukai Allah pada hari Aidiladha melainkan ibadat korban. Sesungguhnya binatang yang dikorbankan itu akan datang pada hari kiamat lengkap dengan tanduk, bulu dan kukunya. Sesungguhnya ibadat korban ini diredhai Allah sebelum darah binatang itu jatuh ke bumi. Maka hendaklah kamu berasa lapang dada dan reda akan ibadat korban yang kamu lakukan.” (Hadis riwayat At-Tirmizi)

Berdasarkan sebuah hadis (terjemahan) yang telah diriwayatkan oleh Imam Tirmizi dan Al-Hakim yang bermaksud: "Tiada dibuat oleh anak Adam pada Hari Raya Adha akan sesuatu amal yang lebih disukai Allah daripada menumpahkan darah (menyembelih korban). Bahawa korban itu datang pada hari kiamat dengan tanduk-tanduknya, bulu-bulunya dan kuku-kukunya. Sesungguhnya darah korban itu mengambil tempat yang mulia di sisi Allah sebelum darah itu tumpah ke bumi, maka hendaklah kamu buat korban itu dengan hati yang bersih."

Berdasarkan sebuah hadis (terjemahan) Ibnu Abbas dan Jabir bin Abdullah Al-Ansariy r.a: 
Diriwayatkan daripada Ibnu Juraij katanya: Aku telah diberitahu oleh Ata' daripada Ibnu Abbas dan Jabir bin Abdullah Al-Ansariy r.a kedua-duanya berkata: Tidak ada azan bagi sembahyang Hari Raya Fitrah (Aidilfitri) dan sembahyang Hari Raya Korban (Aidiladha). Selepas beberapa ketika aku bertanya Ata' tentang perkara tersebut: Lantas dia menjawab dengan berkata: Aku telah diberitahu oleh Jabir bin Abdullah Al-Ansariy r.a bahawa: Tidak ada azan bagi sembahyang Hari Raya Fitrah (Aidilfitri), baik ketika imam keluar atau sesudahnya. Juga tiada iqamat atau apa-apa pun.

Sumber: Wikipedia & http://terbaru2010.com
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...