Sunday, 15 July 2012

Insan Bernama Lelaki

Assalammualaikum Warahmatullahiwabarakatuh sidang pembaca on-line sekalian. Alhamdulillah meniti di bibir hamba selaku insan kerdil yang tiada nilai apa-apa di sisi Yang Maha Berkuasa namun tetap berusaha memohon keredhaanNya. Allah..... Salam sejahtera buat dirimu wahai para sahabat seperjuanganku. Moga saya mendoakan anda semua terus cekal menghadapi pancaroba dunia dan tidak sirna kelemasan menempuh ombak ganas dunia realiti.
   
          Kalam ringkas ini asalnya ingin saya titipkan buat seseorang namun saya segera memohon petunjuk Allah yang Maha Berkuasa sebelum jari-jemari hitam manis ini menekan-nekan 'button' komputer riba milik saya ( Alhamdulillah pemberian ABAH TERSAYANG sempena hari lahir ke 19). Saya membatalkan niat di dalangi Syaitan Laknatullah itu. Jadi nukilan ini adalah teristimewa buat semua Lelaki, Suami, Ayah dan para pemimpin Umat Islam yang berpegang teguh kepada keadilan ber-inti-kan cahaya Nur Ilahi. Ingin saya sajikan tulisan kali ini dengan sebuah video sebagai mukadimah penenang hati dan minda. Saksikanlah..

  Rasulullah S.A.W. Selawat dan salam saya ucapkan kepada Baginda, Allahumma Solli Ala Saiyidina Muhammad. Engkaulah Qudwah Hasanahku sebagai insan sepertimu bernama LELAKI.

      Sahabatku,
Apabila lahir setiap insan bernama lelaki di dunia ini, semula jadinya seperti yang telah di atur oleh Tuhan, telah mengurniakan pelbagai kelebihan dan kekurangan. Allah telah mem'berati' lelaki dengan tanggungjawab. Namun harus diingat para lelaki sekalian, dalam surah Al-Baqarah ayat 286, Allah telah menjelaskan dengan maksudNya : Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuatu dengan kesanggupanNya. Ia mendapat pahala dan kebajikan yang diusahakannya dan ia mendapat seksaan dari apa yang dikerjakannya.(Mereka berdoa) Ya Allah, Janganlah Engkau hukum kami jika lupa atau tersalah. Ya Allah, jangan Engkau bebankan kami beban  yang berat sebagaimana Engkau bebankan orang-orang yang sebelum kami. Ya Allah, janganlah Engkau pikulkan kami dengan apa yang kami tidak mampu memikulnya. Berikanlah maaf kepada kami, Engkaulah Penolong kami, maka tolongilah kami memerangi golongan kafir.

Banyaknya tanggungjawab sehinggakan kadang-kadang tidak langsung tertanggung oleh mereka(lelaki) malahan mereka jugalah insan-insan yang terus menerus  dilabel TERUK, BURUK PERANGAI dan seangkatan dengannya. Itulah hakikat realiti dunia. Bersabarlah wahai lelaki. Dikau khalifah kepimpinan dunia! Dikau tidak sempurna namun dikau tetap berusaha ke arah kesempurnaan.

        Manusia yang benar-benar sempurna di dunia ini hanya ada seorang. Dan beliau adalah LELAKI. Siapa lagi kalau bukan junjungan mulia, Muhammad SAW. Kehebatan dan kemuliaan baginda langsung tiada tandingan para umatnya walaupun sering kali cuba 'diciplak' keasliaannya.
Kesempurnaan baginda terzahir dari cara percakapannya, bahasa tubuhnya, budi pekertinya, sifat fizikalnya, kekuatan dalamannya malahan banyak lagi yang mungkin tidak tertulis di dalam ruang terhad ini. Baginda seorang Imam, seorang Panglima Perang, Bapa Mithali kepada anak-anak, Suami soleh kepada isteri, Pemimpin diri sendiri dan Raja segala Umat. Cukup jauh hendak penulis bandingkan dengan umat baginda yang sejantina dengannya.

        Namun, secara neutral dan semula jadi, sifat-sifat kelelakian kepimpinan dan kebertanggungjawaban baginda tetap ada diwarisi para umat insan yang bernama LELAKI. Segala sunnah baginda diikuti. Lelaki hari ini teramat banyak kekurangannya. Namun dalam kekurangan, tetap ada kelebihannya yang boleh dirungkai dan dibongkar. Kelebihan itu berbeza-beza antara manusia. Itulah kuasaNya tuhan. Dia Maha Mengetahui akan sesuatu ciptaanNYa.

      Sedar atau tidak, lelaki adalah seorang pelindung. Pengawal keselamatan semula jadi. Tanpa perlu untuk dipinta, lelaki akan sentiasa melindungi apa-apa jua miliknya (isteri, kekasih, anak-anak, barang peribadi) sekirannya ancaman mendatang terutama orang-orang disayanginya.

    Sekian dulu titipan ini. Mohon ampun sepuluh jari disusuni mengharapkan seribu kemaafan andai tulisan jahil ini ada terguris hati. Niat di hati hanya ilmu dikongsi. Seperti tertulis di atas, diriku penulis seorang LELAKI yang penuh kekurangan dalam diri. Selamat Membaca. Salam Ukhuwwah kepada semua.

Via Fadzrul Hanif
Mr Presiden !


Tuesday, 19 June 2012

Warkah En. Pengerusi

Warkah En Pengerusi !

Assalammualaikum Warahmatullahiwabarakatuh kalian sidang pembaca! Apa khabar? Semoga sihat-sihat belaka lah hendaknya. Ahaaaaa.... Sebenarnya saya ini baru sahaja cuba menjinak-jinakkan diri dalam dunia blogger nie. Jadi sekiranya ada terkasar bahasa, tersilap taip. ataupun BAHASA TERLAMPAU BUKU, maafkanlah ana. Saya insan biasa. Punyai banyak kekurangan di mata dan diakui tiada sesempurna mana seperti Rasulullah S.A.W, nabi junjungan kita. Kawan-kawan sidang pembaca, anda buat apa yer cuti semester ini ? Bekerja 'part-time', jadi cikgu sementara, pelayan dekat KFC atau McD, 'babysitter' berjaya, ataupun tanam anggur di rumah masing-masing(menganggur sepenuh masa)? tidak kira lah apa jua sekalipun aktiviti yang kalian buat, saya doakan kalian semua supaya diberi kesejahteraan oleh Allah.

      Sedar atau tidak, ketika saya leka menaip tulisan ini, tarikh hari bulan telah menjenguk ke 20 JUN 2012 bersamaan 30 Rejab 1433Hijriah. Ya Allah! Sungguh cepat masa berlalu. Pejam celik bangun subuh dan seterusnya, saya dan sahabat-sahabat Kolej Profesional MARA Indera Mahkota, Kuantan, sebenarnya telah menghabiskan genap sebulan bercuti semester. Dan Encik Pengerusi ada mendengar ura-ura yang keputusan peperiksaan FINAL juga akan dikeluarkan tidak lama lagi. Ya Allah sungguh laju dikau putarkan masa dunia ini. . . . ,

       Di kesempatan yang ternyata sekejap ini, saya ingin mengajak rakan-rakan sidang pembaca, mari kita merenung sejenak akan diri kita yang serba lemah hina di sisi Tuhan yang Maha Berkuasa . . . Selama kita bercuti ini, apakah persiapan yang kita telah lakukan? Apakah amalan ibadat yang telah kita pertingkatkan ? Bagaimanakah kekuatan keyakinan diri kita yang telah kita sediakan? Kalau sebolehnya, berpuluh-puluh persoalan ke dalam diri kita ingin saya utarakan di sini sebagai suatu 'checklist' untuk kebaikan diri penulis dan juga sidang pembaca. Namun apakan daya, masa mencemburui . Insyaallah saya akan cuba mengintai masa, demi berkongsi ceritera, mengajak para remaja pembaca, mendekati Allah tuhan kita, dengan karya tulisan yang lebih bermakna, semoga apa sahaja yang disampaikan membawa secebis makna. Sehingga bertemu lagi, Assalammualaikum Warahmatullahiwabarakatuh.

Friday, 15 June 2012

PERSOALAN SEDEKAH AL-FATIHAH KEPADA SI MATI




Satu amalan yang biasa dilakukan dalam masyarakat kita apabila mendengar kematian seseorang ialah, menyedekahkan bacaan Al-Fatihah…”Marilah kita sama-sama sedekahkan Al-Fatihah kepada Si Fulan bin Si Fulan yang baru sahaja meninggal sebentar tadi…” demikianlah antara ungkapan yang biasa kita dengar.

Membaca Al-Fatihah kepada si mati adalah dengan tujuan menyedekahkanPAHALA bacaan tersebut. Kerana, dengan membaca Al-Quran telah dijanjikan balasan pahala.

عبد الله بن مسعود يقول : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم من قرأ حرفا من كتاب الله فله به حسنة والحسنة بعشر أمثالها لا أقول آلم حرف ولكن ألف حرف ولام حرف وميم حرف

Maksudnya : Berkata Abdullah bin Mas’ud : Bersabda Rasulullah SAW “ Barangsiapa membaca satu huruf daripada Kitab Allah (Al-Quran), maka baginya satu hasanah (kebaikan), dan setiap satu hasanah baginya 10 pahala. Aku tidak katakan آلم satu huruf, bahkan alif satu huruf, lam satu huruf dan mim satu huruf.

(Hadith Sunan Tirmizi (No.2910) dengan komentar “Hadith ini Hasan Sohih Ghorib”. Hadith yang sama maksud boleh didapati dalam kitab Musannaf Ibnu Abi Syaibah (No.29933), Sya’bu Al-Iman (No. 1983), Kanzu Al-‘Amal (No.2429), Sohih Targhib Wa Tarhib (No.1416), Riyad As-Solihin (No.999). Disepakati status hadith ini adalah sohih)

Persoalannya, benarkah kita dituntut, atau dianjurkan, atau digalakkan oleh Baginda Nabi SAW untuk sedekahkan bacaan Al-Fatihah kepada si mati? Inilah yang cuba penulis kupaskan dalam artikel ini. Diharapkan pembaca tekun membaca dan memahami perkara ini.



APA SEBENARNYA YANG DIANJURKAN?

Sebenarnya, Baginda Nabi SAW tidak pernah menganjurkan para sahabat yang hidup menyedekahkan Al-Fatihah kepada sahabat yang meninggal. Bahkan apa yang sebenarnya dianjurkan oleh baginda ialah MENDOAKAN si mati…

Perkara ini dapat dibuktikan dengan dalil berikut :

عن أم سلمة قالت : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم " إذا حضرتم الميت فقولوا خيرا فإن الملائكة يؤمنون على ما تقولون " فلما مات أبو سلمة قلت يارسول الله ما أقول ؟ قال " قولي اللهم اغفر له وأعقبنا عقبى صالحة " قالت فأعقبني الله تعالى به محمدا صلى الله عليه وسلم . 

Maksudnya : Daripada Ummu Salamah katanya : Bersabda Rasulullah SAW “ Apabila kamu menziarahi mayat maka katakanlah yang baik-baik. Sesungguhnya para Malaikat percaya (mencatat) apa yang kamu katakan”. Maka ketikamana Abu Salamah meninggal dunia, aku (Ummu Salamah) bertanya wahai Rasulullah apa yang patut aku katakan? Jawab (baginda) “ Katakan :

اللهم اغفر له وأعقبنا عقبى صالحة



(Hadith Sohih Sunan Abi Daud (No.3115), Ibnu Majah (No.1447). Hadith ini juga dinukilkan oleh Ibnu Hibban dalam kitab sohihnya (No.3005), dengan komentarnya “Sanad Hadith ini sohih mengikut syarat Al-Bukhari dan Muslim”. Namun hadith ini tidak dimuatkan oleh kedua tokoh tersebut dalam kitab sohih mereka)

Inilah yang dianjurkan oleh Baginda dan diamalkan oleh para sahabat, yaitumendoakan si mati, bukannya menyedekahkan atau membacakan Al-Fatihah sepertimana yang kita amalkan hari ini.

Satu lagi bukti yang boleh penulis kemukakan di sini ialah dengan hadith yang sangat mahsyur dalam kalangan masyarakat kita hari ini :

عن أبي هريرة رضي الله عنه : أن النبي صلى الله عليه وسلم قال إذا مات الإنسان انقطع عمله إلا من ثلاث صدقة جارية وعلم ينتفع به وولد صالح يدعو له

Maksudnya : Daripada Abi Hurairah ra : Sesungguhnya Nabi SAW bersabda “Apabila mati seseorang insan, maka terputuslah segala amalanya melainkan tiga (amalan). Sedekah jariah (yang ditinggalkan), ilmu yang bermanfaat (yang diajarkan), dan anak yang soleh yang mendoakannya.

(Hadith Sunan Tirmizi (No. 1376) dengan komentarnya “Hadith ini Hasan Sohih”. Hadith yang sama juga boleh didapati dalam Sunan Nasa’i (No.3651). Hadith ini dinilai Sohih)

Jelasnya dalam hadith di atas, Nabi SAW menyebutkan anak yang soleh yang MENDOAKANNYA. Tetapi bukanlah anak soleh yang menyedekahkan bacaan Al-Quran. Mungkin ramai yang tahu hadith ini, tetapi tidak ramai yang memerhatikan maksud hadith ini.
Tidak ada satu keterangan pun bahawa Nabi SAW menyuruh menyedekahkan bacaan Al-Fatihah atau Al-Quran kepada si mati. Ini diperkuatkan lagi dengan anjuran Nabi SAW ketika melalui kubur :

عن سليمان بن بريدة عن أبيه قال : كان رسول الله صلى الله عليه وسلم يعلمهم إذا خرجوا إلى المقابر فكان قائلهم يقول ( في رواية أبي بكر ) السلام على أهل الديار ( وفي رواية زهير ) السلام عليكم أهل الديار من المؤمنين والمسلمين وإنا إن شاء الله للاحقون أسأل الله لنا ولكم العافية

Maksudnya : Daripada Sulaiman bin Buraidah, daripada ayahnya berkata : Adapun Rasulullah SAW mengajarkan mereka apabila kamu keluar ke perkuburan maka hendaklah seseorang dari mereka katakan : (dalam riwayat Abi Bakar) Sejahtera keatasmu ahli kubur, (dalam riwayat Zuhair) Assalamualaikum ahli kubur dari kalangan Mukminin dan Muslimin dan aku Insya-Allah akan menyusul. Aku pohon kepada Allah kebaikan ke atas kami (yang masih hidup) dan keatas kamu (yang telah mati).

(Hadith Sohih Muslim (No.104). Hadith yang sama maksud dalam Sunan Nasa’i (No.2040), Sunan Ibnu Majah (No.1547), Musnad Ahmad bin Hanbal (No.23035). Sepakat Hadith Ini Sohih)

Maksud memberi salam adalah mendoakan, yaitu mendoakan kesejahteraan ahli kubur (orang yang telah mati).Nabi tidak mengajarkan para sahabat bahawa hendaklah mereka menyedekahkan Al-Fatihah kepada ahli kubur. Memadailah mendoakan kesejahteraan mereka sahaja. Itulah sebaik-baik amalan yang boleh dilakukan dan dianjurkan oleh baginda.









PERSOALAN MEMBACA AL-FATIHAH ATAU AL-QURAN KEPADA SI MATI

Jika kita menyedekahkan Al-Fatihah kepada si mati, apakah yang kita sedekahkan? Tidak lain, pastilah PAHALA BACAAN AL-FATIHAH yang kita sedekahkan.

Sekiranya kita membaca Al-Fatihah, pasti kita mengharapkan balasan pahala daripada Allah SWT. Juga mengharapkan keredhaan Allah. Persoalan dapat atau tidak apa yang kita harapkan itu semuanya hak Allah, dan ia adalah perkara ghaib yang kita tidak dapat lihat diterima atau tidak.

Perlu jelas bahawa persoalan pahala ialah persoalan ghaib (perkara ghaib). Perlu difikirkan oleh kita, adakah pahala membaca Al-Fatihah atau mana-mana ayat Al-Quran ini boleh di sedekahkan? Apakah kedudukan pahala yang ghaib ini sama seperti wang ringgit yang zahir yang boleh dipindah-pindah miliknya atau disedekahkan?

Sekiranya seseorang mendakwa pahala membaca Al-Fatihah ini boleh disedekahkan, maka dia perlu membawa bukti dengan Nas Al-Quran atau Hadith, kerana perkara ghaib ini hanya boleh diketahui melalui dua sumber ini sahaja. Adapun melalui sangkaan atau ‘rasa-rasa sampai’ sahaja, maka tidak boleh diterima sama sekali.

Maksud membawa bukti di sini ialah membawakan mana-mana ayat Al-Quran atau Hadith Nabi SAW yang sohih yang menyatakan bahawa sampainya pahala sedekah membaca Al-Fatihah kepada si mati. Hadith Dhaif tidak boleh diterima. Hal ini kerana, Hadith mendoakan bertaraf sohih.Apabila bertembung hadith sohih dan dhaif, maka yang sohih perlu diutamakan.

Sangkaan atau ‘rasa-rasa sampai' tidak boleh diterima kerana, Allah dan Rasul-Nya tidak menyatakan demikian. Sedangkan Nabi SAW orang yang paling faham agama (kerana wahyu disampaikan melalui baginda) pun tidak menyatakan sampainya pahala sedekah, mana mungkin kita manusia biasa ini boleh pula menyatakan demikian.
عائشة رضي الله عنه ها قالت : أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال ( من عمل عملا ليس عليه أمرنا فهو رد )


Maksudnya : Daripada ‘Aisyah rah : Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda : Barangsiapa beramal dengan amalan yang bukan dari suruh kami, maka ianya tertolak.

(Hadith Sohih Muslim (No.1718). Hadith yang sama maksud dalam Sohih Al-Bukhari (No.2550), Sunan Abi Daud (No.4606), Sunan Ibnu Majah (No.14), Musnad Ahmad bin Hanbal (No.25511))



BAGAIMANA DOA YANG DIANJURKAN

Doa yang disarankan ialah sepertimana yang dinyatakan dalam hadith Ummu Salamah di atas :

اللهم اغفر له وأعقبنا عقبى صالحة

Sebenarnya, tidak ada doa yang khusus kepada si mati, asalkan doa itu baik dan bertujuan memohon ampun bagi pihak si mati. Nabi SAW menyatakan dalam Hadith Ummu Salamah itu :

فقولوا خيرا

Maksudnya : …maka kamu katakanlah yang baik-baik…

Sabdaan Nabi SAW ini juga menunjukkan bahawa, apabila berlaku kematian, katakanlah yang baik-baik tentang si mati. Jangan sesekali mengumpat, atau mengatakan keburukan si mati. Sebaliknya, sebutkan hal-hal yang baik tentang si mati serta mendoakannya.

Doa yang biasa di baca oleh masyarakat kita dalam tahlil juga merupakan doa yang baik :

اللهم اغفرله وارحمه وعافه واعف عنه

Sebaik-baik doa adalah memohon keampunan bagi pihak si mati.



KESIMPULAN

Setelah penulis membawakan bukti-bukti berlandaskan Hadith-Hadith yang sohih, maka terpulanglah kepada para pembaca untuk menilainya. Penulis tidak menganggap bahawa menyedekahkan Al-Fatihah kepada si mati adalah sesat (bid’ah dholalah). Yang jelasnya, individu yang menganjurkan demikian berniat baik, iaitu ingin meringankan seksaan si mati di alam kubur. Tetapi,sebaik-baik amalan yang perlu kita amalkan dan berpegang dengannya adalah, amalan yang berdasarkan Nas yang sohih yang dianjurkan oleh Nabi dan diamalkan oleh para sahabat serta generasi selepasnya yang berpegang teguh dengan sunnah…

Penulis menyeru, sekiranya kita diminta menyampaikan khabar kematian seseorang, maka serulah orang ramai mendoakan si mati..(elakkan menyeru membacakan Al-Fatihah)..

Sekiranya ada orang menyeru membacakan Al-Fatihah kepada si mati, maka kita doakanlah sahaja.. Mengikut sunnah yang diajarkan Nabi SAW adalah lebih utama…

Wallahu A’lam..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...