Tuesday, 12 June 2012

Hijrah Diri









Assalamualaikum.


Penghijrahan diri, selalu kita tegaskan perkara ini semasa umat Islam menyambut Maal Hijarah iaitu 1 Muharam. Tapi kali ini walaupun ianya telah berlalu izinkan saya membawa tajuk ini utk kita selami dalam kehidupan seharian kita untuk mencari kerehaan Allah semata-mata. Moga hidup kita lebih bermakna. InsyaAllah.

Surah At Taubah ayat 20 yang bermaksud: "Orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad dengan harta benda dan diri, mereka adalah lebih tinggi darjatnya pada sisi Allah (SWT). Mereka itulah orang-orang yang mendapat kemenangan. Tuhan mengembirakan mereka dengan rahmat daripada-Nya keredhaan dan syurga. Di dalamnya mereka memperoleh kesenangan yang abadi. Mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Sesungguhnya disisi Allah itu pahala yang sangat besar."

Sesungguhnya ayat Al-Quran itu adalah kata-kata Allah dan tiadalah benar melainkan benar sahaja.
 

HIJRATUL QALBIYAH

Apa pun pekerjaan dimulakan dengan niat. Oleh itu suka saya mulakan hujah saya dipagi ini dengan menekankan hijrah Hati Nurani. Sedap didengar apatah lagi jika kita mengamalkannya. Satu petua yang ingin saya kongsi bersama untuk menjayakan apa yg dicita ialah setiap kali kita memandang cermin bacalah doa ini didalam hati.

Bismillahirahmanirrahim.

"Ya Allah cantikkan lah akhlak ku sepertimana engkau mengelokkan kejadian ke atas diriku"

Sebelum saya teruskan lagi suka saya beritahu ini semua yang kita cari bukan sahaja untuk mencari keredhaan Ilahi namun ianya untuk kebaikan hidup kita yang senantiasa hidup dalam keadaan aman dan tenteram. Ini adalah titik permulaan untuk mencapai kemenangan hidup didunia sekaligus membawa kebahagian diakhirat.

Dalam proses kita sebagai manusia untuk menghijrah kan diri kita utk mendapatkan keredhaan ilahi ini Rasulullah SAW ada menggariskan panduan kepada umat2nya. Baginda bersabda ertinya: "Sesungguhnya berkawan dengan orang-orang yang soleh (orang-orang baik) dibandingkan dengan orang-orang jahat adalah seperti berkawan dengan orang yang menjual minyak wangi berbanding dengan tukang besi. Maka berkawan dengan tukang penjual minyak wangi terkadang dia memakaikan kepadamu atau kamu mengikutnya atau mencium wanginya. Akan tetapi berkawan dengan tukang besi (peniup api) mungkin terbakar pakaianmu atau kau merasakan panasnya." (Hadis Riwayat Muslim)

Mengapa sahabat atau kawan memainkan peranan penting dalam penghijrahan diri kita atau kehidupan seharian kita? ini kerana dengan apa yang dia lakukan akan tempias kepada diri kita sepertimana terpeciknya air hujan. Jika berkawan dengan orang yang buruk perangainya lambat laun pasti akan terikut-ikut begitulah sebaliknya jika berkawan dengan org yang baik, InsyaAllah sedikit demi sedikit kita akan tertarik.

Dengan perlakuannya. dengan cara percakapannya, dengan segala tindak tanduknya, dengan kesabarannya, dengan kesungguhannya, dengan sifat kesederhanaanya, dengan kesabarannya dan setiap apa yang dia lakukkanya akan tertempias kepada diri kita jika kita bersahabat baik dengan dia (org yang soleh). Oleh itu pilihlah kawan dari kalangan orang-orang yang beriman dan percayalah kata-kata saya ini sesungguhnya mereka akan memberikan kita kebahagian hati. Inilah yang dikatakan usaha kita cuba mempertingkatkan penghijrahan qalbiyah yang menjadi titik permulaan hijrah.

Seterusnya secara rasional manusia mempunyai kelebihan dan kepandaian masing-masing. Rasulullah SAW. itu sendiri yang mempunyai kelebihan yang dipergunakan untuk kepentingan agama Allah. Dengannya umat Islam sehingga kini memperolehi kesejahteraan dan kebahagiaan. oleh itu marilah kita menggunakan kelebihan yang ada pada diri kita ini dengan membuat kebaikan sesama manusia. Sepertimana firman Allah dalam surah Az-Zalzalah ayat 7 - 8 bermaksud: "Barangsiapa mengerjakan kebaikan seberat biji zarah (sawi) pun nescaya dia akan melihat balasannya. Dan barangsiapa mengerjakan kejahatan seberat zarah pun, nescaya dia akan melihat balasannya pula"

Bagaimana yang dikatakan kebaikan seberat biji zarah tu? jawapannya ialah doa. Mendoakan kebaikan/kebahagiaan orang lain adalah merupakan satu kebaikan. Ianya tidak mengeluarkan sesen pun.....tidak memerlukan masa, dan tidak merugikan sesiapa. Lihat satu perkara ....iaitu hati. Jika hati kita ikhlas dan bersih maka dengan sendirinya hati itu akan berkata-kata dan mengeluarkan satu perasaan yang baik. Apa yg lahir dalam hati itu akan terkeluar oleh kata-kata dan diucapkan dengan lidah. Kata-kata itu adalah doa! doa yang baik akan termakbul oleh Allah.

Mulakan dengan hijrah hati dan nurani. seterusnya langkah demi langkah. Aturlah dengan tersusun mohonlah petunjuk dan hidayah. Semoga kita beroleh keberkatan moga dengan penghijrahan diri kita meletakkan kita diantara mereka yang terpilih oleh-Nya yang Maha Mengetahui serta Maha Berkuasa......

Sekian Wassalam

Panduan untuk menjadi Isteri Solehah



Dari Aisyah ra. yang menceritakan; Aku bertanya Rasulullah; "Siapakah yang paling besar haknya ke atas seorang perempuan ?". Jawab Nabi; "Suaminya". Aku bertanya lagi; "Siapakah yang paling besar haknya ke atas seorang lelaki?". Jawab Nabi; "Ibunya". (HR al-Hakim)

Pada suatu hari seorang wanita bernama Zainab yang bergelar Khatibatin-nisa’ telah menemui Rasulullah SAW lalu berkata: "Aku telah diutus oleh kaum wanita kepada engkau. Jihad yang diwajibkan oleh Allah ke atas kaum lelaki itu, jika mereka luka parah, mereka mendapat pahala. Dan jika mereka gugur pula, mereka hidup disisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki. Manakala kami kaum wanita, sering membantu mereka. Maka apakah pula balasan kami untuk semua itu ?" Bersabda Rasulullah saw. "Sampaikanlah kepada sesiapa yang engkau temui daripada kaum wanita, bahawasanya TAAT KEPADA SUAMI SERTA MENGAKUI HAKNYA adalah menyamai pahala orang yang berjihad pada jalan Allah, TETAPI SANGAT SEDIKIT DARIPADA GOLONGAN KAMU YANG DAPAT MELAKUKANNYA." (HR Al-Bazzar dan Ath-Thabrani)

Nabi saw. bersabda, “Apabila seorang wanita redha atas kehamilannya dari suaminya yang sah, sesungguhnya dia mendapat ganjaran pahala seperti ibadah puasa dan mengerjakan ibadah-ibadah lainnya di jalan Allah dan jika dia merasa berat, letih atau lesu, tidaklah dapat dibayangkan oleh penghuni langit dan bumi, betapa kesenangannya disediakan oleh Allah di hari akhirat nanti. Apabila anaknya lahir, maka dari setiap teguk air susu yang dihisap oleh anak, si ibu mendapat kebajikan pahala. Apabila si ibu berjaga malam (kurang tidur kerana anak) maka si ibu mendapat ganjaran pahala seperti memerdekakan 70 orang hamba sahaya kerana Allah.” (HR Ibn Hibban)

Seorang wanita datang bertanya kepada Rasulullah saw. dan bertanya, “ Sesungguhnya sepupuku meminangku, maka sebelum aku berumah tangga , ajarkanlah kepadaku, apakah hak suami terhadap isterinya ? Rasulullah saw. menjawab: “ Sesungguhnya hak suami terhadap isterinya sangatlah besar, sehingga apabila mengalir darah hidung atau nanah suaminya, lalu dijilat isterinya, masih belum terbayar hak suaminya itu. Dan jika sekiranya manusia dibolehkan sujud kepada manusia, nescaya aku perintahkan si isteri untuk sujud kepada suaminya.” (HR. Al-Hakim)

Nabi saw. bersabda, "Jika seorang suami memanggil isterinya datang ke katilnya (iaitu untuk hubungan kelamin) dan dia menolak, dan menyebabkan suaminya tidur dalam kemarahan, malaikat-malaikat akan mengutuknya hingga waktu pagi. (HR Bukhari)

Nabi saw. bersabda, ”Jika seorang suami itu memanggil isterinya kerana berhajat kepadanya, maka pergilah kepadanya walaupun ketika itu dia sedang membakar roti.” (HR Ahmad, al-Nasa-ie dan al-Tirmizi)

Nabi saw. bersabda, ”Seorang isteri itu belum menunaikan hak Allah selagi dia tidak menunaikan hak suaminya, jika suami berhajat kepadanya sedangkan dia berada di belakang tunggangan, maka janganlah dia menolak.” (HR Ath-Thabrani)

Firman Allah swt. "... perempuan yang solehah mestilah taat dan memelihara kehormatan dirinya ketika ketiadaan suaminya dengan perlindungan Allah…” (an-Nisaa’: 34)

Nabi saw. bersabda, “Dan sebaik-baik wanita(isteri) ialah mereka yang boleh mengembirakan engkau apabila kamu melihatnya, dan yang mentaati kamu apabila kamu menyuruhnya, dan dia memelihara maruah dirinya dan harta engkau ketika ketiadaanmu". (HR Nasa'i, Baihaqi, Ahmad dan al-Hakim )

Nabi saw. bersabda, “Aku melihat ke dalam Syurga maka aku melihat kebanyakan penghuninya adalah fuqara’ (orang-orang fakir) dan aku melihat ke dalam Neraka maka aku menyaksikan kebanyakan penghuninya adalah wanita.” (HR Bukhari dan Muslim)

Nabi saw. bersabda, “Allah tidak akan melihat kepada wanita yang tidak mensyukuri apa yang ada pada suaminya dan tidak merasa cukup dengannya.” (HR Nasa’i)

Nabi saw. bersabda, “Wanita yang meminta cerai pada suaminya tanpa sebab (yang syar’ie) maka haram baginya mencium wangi Syurga.” (HR Abu Daud dan At-Tirmizi )

Nabi saw. bersabda menjelaskan tentang wanita penghuni Neraka, “ … dan wanita-wanita yang berpakaian tetapi hakikatnya mereka telanjang, melenggak-lenggokkan kepala mereka kerana sombong dan berpaling dari ketaatan kepada Allah dan suaminya, kepala mereka seakan-akan seperti bunggul unta. Mereka tidak masuk Syurga dan tidak mendapatkan wanginya Syurga pada hal wanginya boleh dihidu dari jarak perjalanan sekian dan sekian.” (HR Muslim dan Ahmad)

Di dalam kisah solat gerhana matahari, Rasulullah saw. dan para sahabat melakukan solat gerhana dengan solat yang panjang , Rasulullah saw. melihat Syurga dan Neraka. Ketika beginda melihat Neraka beginda bersabda kepada para sahabatnya: “ … dan aku melihat Neraka maka tidak pernah aku melihat pemandangan seperti ini sama sekali, aku melihat kebanyakan penghuninya adalah kaum wanita. Para sahabat pun bertanya : “Mengapa (demikian) wahai Rasulullah?” Baginda saw. menjawab : “Kerana kekufuran mereka.” Kemudian ditanya lagi : “Apakah mereka kufur kepada Allah?” Baginda menjawab : “Mereka kufur terhadap suami-suami mereka, kufur terhadap kebaikan-kebaikannya. Kalau kamu berbuat baik kepada salah seorang di antara mereka selama waktu yang panjang kemudian dia melihat sesuatu pada dirimu (yang tidak dia sukai) nescaya dia akan berkata : ‘Aku tidak pernah melihat sedikit pun kebaikan pada dirimu.’ ” (HR Bukhari)

Ketika beginda selesai berkhutbah hari raya yang berisikan perintah untuk bertakwa kepada Allah s.w.t. dan anjuran untuk mentaatiNya. Baginda pun bangkit mendatangi kaum wanita, baginda menasihati mereka dan mengingatkan mereka tentang akhirat kemudian baginda bersabda : “Bersedekahlah kamu semua. Kerana kebanyakan kamu adalah kayu api Neraka Jahanam!” Maka berdirilah seorang wanita yang duduk di antara wanita-wanita lainnya yang berubah kehitaman kedua pipinya, dia pun bertanya : “Mengapa demikian, wahai Rasulullah?” Baginda menjawab : “Kerana kamu banyak mengeluh dan kamu tidak taat terhadap suami.” (HR Bukhari)

Nabi saw. bersabda, "Apabila seorang isteri menjaga solat lima waktu, berpuasa di bulan Ramadan, menjaga kehormatannya dan taat kepada suaminya, maka ketika berada di akhirat dikatakan kepadanya: Masuklah kamu ke dalam syurga dari pintu mana saja yang kamu suka". (HR Ahmad)

Nabi saw. bersabda, “Mana-mana perempuan yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha padanya, maka dia akan masuk syurga”. (HR At-Tirmidzi)

Ibadah orang riak tiada nilai disisi Allah


Riak

Rasulullah SAW dalam sabda bermaksud: "Sesungguhnya yang paling aku takut menimpa kalian adalah asy syirkul ashghar (syirik kecil). Sahabat bertanya: "Apakah syirik kecil itu? Baginda menjawab: Riak." (Hadis riwayat Imam Ahmad)

Baginda SAW bersabda yang bermaksud: "Mahukah kalian aku beritahu sesuatu yang lebih aku takutkan daripada Dajal? Kami katakan: Tentu. Baginda bersabda: Riak, syirik yang tersembunyi iaitu apabila seseorang mengerjakan solat lalu dia menyempurnakan solatnya apabila mengetahui seseorang memandangnya." (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Riak ialah menampakan ibadah dengan niat mendapat perhatian atau pujian manusia. Menampakkan amal soleh agar dilihat oleh manusia lain agar dirinya mendapatkan pujian, kedudukan atau penghargaan atau keuntungan duniawi.

Berkata imam Qurtubi,: “Hakikat riya’ ialah menginginkan dunia dalam ibadah dan asalnya ialah menginginkan kedudukan di hati manusia.”

Al Hafidz Ibn Hajar menjelaskan “Riya’ ialah menampakkan ibadah dengan tujuan agar dilihat manusia, lalu mereka memuji pelaku amal tersebut.”

Riak ialah melakukan sesuatu bukan kerana Allah. 

Orang tidak tahu jika kita riak. Kita juga tidak boleh mengatakan orang lain itu riak. Ini adalah kerana riak adalah niat atau perasaan atau tujuan di dalam hati. Niat di hati adalah rahsia Allah yang tidak diketahui oleh sesiapa pun. Tetapi ALLAH maha mengetahui niat dan hasrat di hati kita.


Tetapi walaupun ia rahsia, namun ulama ada mengenal pasti tanda-tanda atau panduan untuk menilai kemungkinan terjadi riak.

1. Rajin beramal jika mendapat pujian atau sanjungan dan malas atau berkurang amal jika mendapat celaan dan kecaman.
2. Rajin beramal apabila bersama-sama dengan orang lain dan malas atau tidak beramal bila bersendirian.
3. Menjauhi larangan Allah jika bersama orang lain dan melanggar larangan-larangan-Nya jika ia sedang sendiri dan jauh dari penglihatan manusia.


Ibadah orang yang riak akan ditolak serta tiada nilai disisi Allah.

Rasulullah SAW. bersabda,"Sesungguhnya Allah tidak akan menerima amal kecuali amal yang dilaksanakan dengan ikhlas dan dilakukan semata-mata untuk mengharap redha Allah. (HR Abu Daud dan An-Nasa'i)

Firman Allah, "Maka celakalah bagi orang-orang yang solat,(iaitu) orang-orang yang lalai dari solatnya. Mereka yang mengerjakan kebaikan dengan riak." ( Al Ma'un: 4-6)

Nabi saw. bersabda yang maksudnya: “Sesungguhnya setiap amalan bergantung pada niat dan setiap orang akan mendapat ganjaran sesuai dengan niatnya.” (Hadis sahih riwayat Bukhari dan Muslim)

Nabi saw. bersabda yang maksudnya: “Sesiapa sum'ah (menceritakan amalnya), maka Allah akan menceritakan aibnya dan sesiapa beramal kerana riak maka Allah akan membuka niatnya di hadapan manusia pada hari kiamat kelak.” (Hadis sahih riwayat Bukhari dan Muslim)  


Abu Hurairah yang berkata, ”Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya orang yang pertama kali diadili pada hari kiamat adalah orang yang mati syahid di jalan Allah. Dia didatangkan kemudian dinampakkan kepadanya nikmat-nikmat yang diberikan kepadanya maka dia pun mengakuinya. Allah bertanya, “Apa yang kamu lakukan dengannya?” Dia menjawab, “Aku berperang untuk-Mu sampai aku mati syahid.” Allah berfirman, “Engkau dusta, sebenarnya engkau berperang kerana ingin disebut sebagai orang yang berani. Dan itu sudah kau perolehi.” Kemudian Allah memerintahkan malaikat untuk mengheretnya tertelungkup di atas wajahnya lalu dilemparkan ke dalam neraka.
Kemudian seorang yang menuntut ilmu dan mengajarkannya dan juga membaca Al Quran. Dia didatangkan kemudian ditunjukkan kepadanya nikmat-nikmat yang sudah didapatinya dan dia pun mengakuinya. Allah bertanya, “Apakah yang sudah kau perbuat dengannya ?” Maka dia menjawab, “Aku menuntut ilmu, mengajarkannya dan membaca Al Quran kerena-Mu.” Allah berfirman, ”Engkau dusta, sebenarnya engkau menuntut ilmu supaya disebut sebagai orang alim. Engkau membaca Quran supaya disebut sebagai Qari’.” Kemudian Allah memerintahkan malaikat untuk mengheretnya tertelungkup di atas wajahnya lalu dilemparkan ke dalam neraka.
Kemudian ada seseorang yang telah mendapatkan anugerah banyak harta. Dia didatangkan dan ditunjukkan kepadanya nikmat-nikmat yang diperolehnya. Maka dia pun mengakuinya. Allah bertanya, “Apakah yang sudah kamu perbuat dengannya?” Dia menjawab, “Aku telah sedekahkan harta di jalan-Mu dan untuk-Mu.” Allah berfirman, “Engkau dusta, sebenarnya engkau lakukan untuk digelar orang yang dermawan dan engkau sudah memperolehnya.” Kemudian Allah memerintahkan malaikat untuk mengheretnya tertelungkup di atas wajahnya lalu dilemparkan ke dalam neraka.” (HR Muslim)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...